Pemandangan Sekolah

Pemandangan Sekolah

Sabtu, 3 Disember 2016

CIRI-CIRI GURU BERKESAN


Konsep sekolah berkesan yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan adalah bermatlamat untuk membawa sistem  pendidikan ke arah kecemerlangan. Seiring dengan slogan “Pendidikan Bertaraf dunia” konsep sekolah berkesan menuntut warga pendidik khususnya untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi dalam pendidikan. Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah(1995) telah menyenaraikan 17 ciri guru yang berkesan, namun berdasarkan pengalaman 30 tahun sebagai seorang guru, saya merumuskan 5 ciri utama guru berkesan dalam bilik darjah.

1.       Berilmu Pengetahuan
      Guru berkesan adalah mereka yang menguasai  pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan samada melalui pembacaan buku atau media elekronik, mengikuti kursus, bengkel dan seminar. Pengetahuan berkaitan penggunaan teknologi ICT dalam pengajaran juga penting kerana ini akan memberi dampak yang positif kepada minat pelajar. Membuat penilaian juga memerlukan pengetahuan dan kemahiran kerana dengan penilaian telus dan sistematik akan membantu guru memberi nilai tambah dalam pengajarannya.

2.       Kreatif
Guru yang kreatif akan sentiasa mencari idea baru dan menarik dalam kaedah dan teknik pengajarannya serta menghasilkan Bahan Bantu Mengajar yang berkesan. Selain itu, sentiasa menyesuaikan bentuk pengajarannya dengan pelajar yang berbeza minat dan tahap kebolehan.  Dengan ini, pelajar berasa seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar, meningkatkan kemahiran dan aspek kognitif pelajar serta dapat melakukan aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran yang telah dijalani.

3.       Komunikasi Berkesan
Kemahiran berkomunikasi adalah kebolehan menyampaikan isi pelajaran dengan jelas dan menarik agar mudah difahami pelajar. Selain itu cara guru berkomunikasi dengan pelajar hendaklah menggunakan stail komunikasi menyokong yakni dengan menjadi pendengar yang baik, memahami , menghargai dan tidak melukakan perasaan pelajar. Sikap guru yang pandai menjaga hati pelajar mereka seperti kerap menegur sapa, berbual-bual, dan mudah dibawa berbincang akan memberi keyakinan pada pelajar untuk bertanya dan mengemukakan masalah yang dihadapi, dengan ini pengajaran akan lebih berkesan. Interaksi dua hala yang wujud akibat berkomunikasi yang baik ilihat sebagai satu medium yang penting kea rah pembelajaran berkesan .

4.      Dedikasi
Guru yang dedikasi sentiasa ikhlas dan sabar ketika mengajar terutamanya kepada murid-murid yang lemah tanpa mengabaikan pelajar yang cerdas. Seorang yang berdedikasi  tidak kedekut ilmu, tidak terlalu serius dan boleh menyelitkan unsur-unsur humor dalam pengajarannya. Guru yang dedikasi juga adalah guru yang tidak kedekut dan berkira dalam pekerjaannya misalnya membeli dan menyediakan BBM, mengadakan hiasan kelas seperti bunga, alas meja dan langsir, menyediakan suasana pembelajaran yg sesuai, menarik dan selesa dalam bilik darjah. Kelas yang kondusif akan menyeronokkan pelajar. Keadaan itu akan memudahkan guru melaksanakan pengajaran . 

5.       Kasih sayang
Perbuatan, tuturkata dan tingkahlaku guru yang menggambarkan sifat kasih sayang dapat  membantu guru melaksanakan tugas dengan  gembira dan berkesan. Guru yang tidak pilih kasih, prihatin terhadap anak-anak muridnya sebagai seseorang manusia, dan turut mengambil berat tentang masa depan mereka akan memberikan kesan yang mendalam di jiwa pelajar. Pelajar yang terasa di sayangi akan dapat menumpuhkan perhatian dalam pembelajarannya. Kasih saying juga penting bagi perkembangan sahsiah dan emosi pelajar.


Salah satu strategi untuk melahirkan guru yang berkualiti ialah dengan meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran. Bilik darjah adalah medan perjuangan utama kepada kerjaya seorang guru. Di bilik inilah mereka menunjukkan kebolehan dan keupayaan melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, adalah penting seorang guru mengurus bilik darjahnya dengan baik bagi membolehkan pelajar mengikuti pengajaran guru dengan mudah dan berkesan. Guru yang berkesan adalah adalah tonggak kecemerlangan sistem pendidikan  sebagaimana hasrat  Falsafah pendidikan Kebangsaan  selaras kehendak  masyarakat dan Negara. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.